Categories
NASIONAL

Kerajaan kini tanggung hutang lebih RM1 trilion

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 24 MEI: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan kerajaan kini menanggung hutang RM1,087.3 bilion dan perangkaan itu menafikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa ia tidak seperti digambarkan.

Beliau berkata, kerajaan diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (CAT) bagi merangka garis panduan mengatasi masalah berkenaan.

“Hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan ialah RM1,087.3 bilion atau 80.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada 31 Disember tahun lalu.

“Ia merangkumi hutang rasmi RM686.8 bilion (50.8 peratus daripada KDNK) dan komitmen kerajaan untuk membayar jaminan pelbagai entiti yang tidak mampu mereka jelaskan berjumlah RM199.1 bilion (14.6 peratus daripada KDNK).

“Jaminan kerajaan yang komited termasuk entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 bilion) serta anggaran RM38 bilion untuk 1MDB.

“Berdasarkan dua perkara di atas, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM885.9 bilion. Ini mewakili 65.4 peratus daripada KDNK yang diserlahkan Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan juga melakukan komitmen dan bertanggungjawab membuat pembayaran pajakan (termasuk sewa, penyelenggaraan dan lain-lain caj) untuk keseluruhan senarai projek PPP seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital serta komitmen pajakan direka khas untuk memintas jaminan kerajaan juga had hutang RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK).

Katanya, pihaknya memberi penekanan terhadap komitmen kerajaan yang tidak berubah sebelum 9 Mei dan selepas pilihan raya bagi menangai isu berkaitan seperti keprihatinan rakyat terhadap apa berlaku kepada negara.

“Dalam jangka masa pendek, keputusan ini bagi menyatakan kebenaran mungkin tidak mencukupi untuk Najib, namun kita percaya dalam jangka masa sederhana dengan mengiktiraf keadaan hutang sebenar hari ini, ia akan membolehkan Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan konkrit mengurus dan mengukuhkan kedudukan kewangan,” katanya.