Categories
SELANGOR

Laksana teras pembangunan Sungai Tua

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 MEI: Calon N16 Sungai Tua, Amirudin Shari memfokuskan teras pembangunan utama jika diberi kepercayaan sekali lagi menerajui kepimpinan, di DUN berkenaan.

Beliau berkata, fokus utama adalah menjadikan kawasan itu sebagai penempatan sihat dan selamat untuk komunitinya.

“Saya komited memperbanyakkan program kekeluargaan dan kesihatan yang memfokuskan seisi keluarga dengan lebih banyak peruntukan kepada persatuan komuniti.

“Tidak dilupakan untuk saya membawa isu pendatang asing sekitar Sungai Tua supaya Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan lebih tuntas mengawal kebanjiran mereka serta menjamin keselesaan warganegara,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu katanya, inisiatif lain turut memastikan kawasan persekitaran Sungai Tua kekal bersih dan hijau, selaras keperluan perbandaran hijau di kawasan berkenaan.

“Ia termasuk usaha memastikan sistem pembersihan dan pungutan sampah yang lebih efisien dengan meningkatkan pemantauan jadual serta penyeliaan lebih kukuh juga menjadikan Sungai Tua bebas denggi.

“Tumpuan lain juga untuk melindungi alam sekitar bagi memastikan kelestarian alam hijau menjadi identiti Sungai Tua yang dinikmati pelbagai generasi,” katanya.

DUN Sungai Tua adalah kerusi baru yang diperkenalkan di bawah penstrukturan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini.