Categories
KENYATAAN MEDIA

Pilihan Raya Umum ke-14: Tahniah buat rakyat Malaysia!

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kepada rakyat Malaysia di atas perubahan yang direalisasikan sempena dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang telah berlangsung pada 9 Mei 2018.

Kejayaan ini sangat bermakna kerana ia adalah kemenangan rakyat. Mereka telah menyuarakan kehendak yang mendambakan perubahan semenjak sekian lama. Semoga perubahan ini membuka lembaran baru kepada sejarah negara ini demi kemakmuran rakyat dan masa hadapan yang cerah baut generasi akan datang.

Sesungguhnya pilihanraya ini membuktikan betapa keramatnya suara generasi muda yang merangkumi enam juta pengundi ke arah mencorakkan perubahan yang sesuai dengan keperluan zaman mendatang. Tahniah kepada anak muda kerana telah menjadi ejen perubah – changemakers buat negara Malaysia yang tercinta ini.

Sesungguhnya kemenangan adalah satu taklifan (amanah) yang perlu disempurnakan. Kemenangan hadir dengan harapan yang memerlukan pelaksanaan. Adalah menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia agar nilai-nilai keadilan dapat diterjemahkan dalam perubahan yang bakal dilaksanakan.

ABIM mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memenuhi segala janji yang diketengahkan sepanjang kempen pilihanraya ini. Dengan pembentukan kerajaan PH ini diharapkan dapat membuka lembaran baru kepada politik tanah air yang menjunjung tinggi nilai, akhlak dan ketelusan pimpinan negara selari dengan prinsip demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Tahniah untuk rakyat Malaysia di atas keberanian membuat pilihan di sebalik pelbagai mehnah dan ranjau yang cuba direntang selama ini.

Semoga rakyat sama-sama bersedia berganding tangan untuk mengisi seribu satu harapan baru ini dengan semangat kecintaan kepada tanah tumpah air tercinta ini.

Tahniah Rakyat Malaysia!

#Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)