Categories
SELANGOR

FIFA 2018: England pilihan MB Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 JUN: Ketika masyarakat dunia tertumpu kepada penganjuran Piala Dunia (FIFA Russia 2018), Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak melepaskan peluang berkongsi keterujaannya terhadap penganjuran temasya itu.

Di Twitter, Dato’ Menteri Besar itu menggunakan tanda pagar (hashtag) ‘England’ pada profil laman rasminya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Ia bukan sesuatu yang asing buat Amirudin yang sebelum ini dikenali umum sebagai penggemar sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Kecenderungan beliau terhadap pembangunan sukan bola sepak dibuktikan menerusi kejayaan dan komitmennya membantu pasukan Selangor merealisasikan Misi 33 Selangor dalam menjulang Piala Malaysia kali ke-33.

Terbaru, selepas menerajui kepimpinan tertinggi negeri, Amirudin secara terbuka menyatakan komitmen beliau membawa pembaharuan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Tumpuannya termasuk menjalankan reformasi menyeluruh bagi mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negeri.

Untuk rekod, peranan Amirudin dalam merancakan lagi agenda pembangunan sukan negeri berada, pada landasan terbaik.

Selain bola sepak, beliau turut fokus meningkatkan imej pembangunan sukan di negeri itu menerusi beberapa pelan pembangunan dan gerak kerja berterusan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor.

Kejayaan berterusan itu dibuktikan menerusi prestasi cemerlang beliau dalam mengangkat martabat sukan negeri apabila kotinjen Selangor menjadi juara, pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) lalu.