Categories
NASIONAL

GAM-SIRIM meterai MoU bentuk kerjasama strategik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM) dan SIRIM Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) membentuk kerjasama strategik jangka panjang antara kedua pihak.

Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, antara kerjasama dijalalinkan adalah pembangunan bateri cas untuk kegunaan kenderaan elektrik.

“MoU ini terhasil bermula daripada kerjasama sejak setahun lalu antara kedua pihak membabitkan empat bidang utama, iaitu pembangunan dan peningkatan produk, teknologi, tenaga manusia serta pasaran industri.

“Usaha ini mampu membantu mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bagi pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Upacara Menandatangani MoU antara SIRIM Berhad dan Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd, di Bangunan SIRIM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain bateri lithium untuk kenderaan elektrik, kerjasama itu turut membabitkan pembangunan dan penambahbaikan keupayaan serta kapasiti bateri cas semula berasaskan lithium ion bagi menggantikan bateri asid plumbum yang masih banyak digunakan kenderaan, di negara ini.

Pengarah Eksekutif GAM, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal pula berkata, kepakaran dan pengalaman SIRIM dalam penyelidikan serta pembangunan teknologi negara mampu memberi manfaat kepada negara juga GAM khasnya.

Katanya, usahasama itu membolehkan GAM memperolehi akses kepada kemudahan penyelidikan SIRIM.

“Kedua pihak akan berkerjasama dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau produk di bawah perkongsian ini,” katanya.

Katanya, selain membangunkan bateri berasaskan lithium ion untuk kegunaan kenderaan elektrik, kerjasama itu juga meliputi pembangunan teknologi kenderaan hijau seperti basikal dan motorsikal.

Katanya, usaha itu membantu industri negara memasuki era revolusi industri 4.0 lebih cepat.