Categories
SELANGOR

Calon PAKATAN Seri Setia luang masa bertemu pengundi

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 8 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar, meluangkan masa hampir setengah jam bertemu pengundi di pusat saluran mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail Jaya, di sini, hari ini.

Difahamkan, beliau turut akan melawat beberapa saluran mengundi lagi sehingga jam 5.30 petang.

Antara pusat saluran mengundi yang akan dilawati adalah Dewan D’Kelana Kompleks Sukan; SK Kelana Jaya; SK Sri Kelana; SK Sungai Way dan Dewan Komuniti Jalan PJS 6.

Beberapa pengundi pelbagai bangsa turut meluangkan masa untuk merakam ‘selfie’ bersama Halimey.

Sementara itu, Halimey merayu kepada semua pengundi DUN Seri Setia keluar menunaikan tanggungjawab kepada negara demi masa depan yang cemerlang seawal mungkin.

Sebanyak 16 pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia sudah mula dibuka dengan 109 saluran membabitkan jumlah pengundi keseluruhan 53,492 orang.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

DUN Seri Setia diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya, sejak dua tahun lalu.