Categories
SELANGOR

Jelajah IPR Paya Jaras dapat sambutan hangat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 15 SEPT: Program Jelajah Inisiatif Peduli Rakyat ke kampung sekitar Paya Jaras yang dilancarkan Pusat Khidmat Masyarakat di DUN itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal itu terbukti menerusi kejayaan mendaftarkan lebih 170 peserta baru, pada program yang diadakan hari ini.

“Tujuan program ini ialah supaya mereka yang layak menyertai pelbagai skim IPR tidak tercicir kerana kadang kala maklumat berkenaannya tidak sampai ke golongan sasaran.

“Program hari ini sahaja menyaksikan lebih 170 orang mendaftar dan kita jangkakan lebih banyak borang bakal diterima,” katanya pada Program Jelajah IPR, di Dewan Mini RTC di Kampung Paya Jaras, di sini.

Turut diadakan penyerahan Kad Peduli Sihat, dialog dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, program Jelajah IPR itu akan diteruskan di kampung lain secara berperingkat.

Katanya, pengundi di Paya Jaras perlu mengambil peluang berkongsi kekayaan dimiliki Selangor.

“Setakat ini, dianggarkan lebih 15,000 penerima manfaat IPR direkodkan di seluruh Paya Jaras sejak ia mula dilancarkan,” katanya.