Categories
SELANGOR

SPR sasar keluar mengundi PRK Seri Setia 70%

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 4 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia lebih tinggi berbanding PRK DUN Sungai Kandis.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, SPR mensasarkan sebanyak 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di hari pengundian yang berlangsung, pada 8 September ini.

“Jika di Sungai Kandis 44.4 peratus sahaja tetapi kali ini kita harap lebih tinggi daripada itu. Jangkaan kita lebih kurang 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Pengundian Awal, di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Othman berkata, selain promosi di media sosial oleh SPR, calon bertanding turut digalakkan menyeru penyokong masing-masing keluar mengundi.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan, supaya calon dan penyokong masing-masing bijak mengatur masa untuk ke pusat pengundian bagi mengelakkan kesesakan.

“Kita banyak membuat pembaharuan dan penambahbaikan terutama daripada segi tempat saluran mengundi. Jadi, kita jangkakan kesesakan kurang berlaku,” katanya.