Categories
SELANGOR

Jangan panik jumpa ular dalam rumah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 NOV: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Selangor menasihatkan orang awam supaya bertenang jika terserempak ular di dalam rumah.

Jurucakapnya dalam kenyataan berkata, mudah panik antara kesalahan yang sering dilakukan pengadu apabila menjumpai binatang berbisa itu.

“Daripada kes sebelum ini, ada di antara keluarga yang panik dan terus berlari keluar dari rumah apabila ternampak ular, justeru apabila bantuan tiba, ular dicari tidak ditemui.

“Kebiasaannya, pengadu akan terus berasa risau ekoran itu tidak ditemui dan tidak dapat ditangkap,” katanya.

Katanya, pengadu tidak perlu panik sebaliknya perhatikan kedudukan ular itu dengan jarak kedudukan selamat dan menghubungi talian kecemasan 999 dengan kadar segera serta menunggu bantuan tiba.

“Ketika menunggu, dinasihatkan jangan terlepas pandang kedudukan ular dalam rumah itu. Selain memudahkan tugas anggota penyelamat, anda juga akan berasa lega.

“Semoga tips yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada anda semua,” katanya.