Categories
SELANGOR

Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat bakal cipta peluang pembangunan di Sabak Bernam

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Pembangunan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (LPPB) yang dijangka beroperasi tahun hadapan akan membuka lebih banyak ruang pembangunan ekonomi bagi penduduk Sabak Bernam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penduduk setempat perlu bersedia menghadapi perkembangan ini atau tertinggal kerana enggan melakukan perubahan sikap.

“Dengan siapnya LPPB, saya percaya pembangunan akan berjalan, di kawasan sekitar.

“Jika penduduk sekitar tidak berubah sikap, kemungkinan kita akan tertinggal daripada arus kemajuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung rumusan hasil Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung, di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), pagi tadi.

Katanya, perkembangan industri sekitar akan membolehkan MDSB menambah kutipan hasil serta mempertingkat mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Keadaan itu bakal menyelesaikan masalah kekurangan hasil yang sering dihadapi beberapa majlis daerah.

“Jika perbandaran masuk ada beberapa cas yang akan dikenakan dan menuntut penjelasan. Mereka (penduduk) perlu bersedia.

“Kalau nak dapat perkhidmatan lebih baik, maka majlis daerah tidak boleh dihalang untuk mengutip hasil ini seperti mahukan anak tetapi tidak mahu isteri mengandung. Itu susah,” katanya.