Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi Ketua Umum KEADILAN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 NOV: Jawatan Ketua Umum KEADILAN yang diwujudkan sejak 2007 kini sudah tiada lagi, kata Presidennya, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jawatan berkenaan sebelum ini adalah sebahagian resolusi yang dibawa parti pada tahun 2007 kerana ketika itu beliau tidak boleh menjawat posisi presiden.

“Ia tidak ada dalam perlembagaan parti. Hanya dibawa dan diwujudkan sebagai resolusi untuk melantik saya sebagai ketua umum.

“Jadi, sekarang sudah tidak wujud sebab saya kini sudah menjadi presiden, maka ia tak diperlukan.

“Yang wujud sekarang hanya jawatan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN sahaja.” katanya ketika sidang media selepas Kongres Nasional ke-13 di IDCC, di sini, semalam.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menyentuh cerita negatif membabitkan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau menyokong penuh kepemimpinan Dr Mahathir bukannya mahu layanan istimewa.

“Tidak timbul cerita kononnya saya mahukan layanan istimewa dan mengambil pesawat ditaja orang tertentu.

“Tolong hentikan semua perkara mengarut, kebobrokan dan bodoh ini. Saudara fikir saya pelahap sangat semua itu?

Kalau timbul cerita seperti ini, saya tangkap dan terajang saudara,” katanya.