Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Wahid Omar kini Pengerusi Lembaga Pengarah UKM

PUTRAJAYA, 5 NOV: Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu berkuat kuasa, pada 1 November 2018 hingga 31 Oktober 2021, menggantikan Tan Sri Dr Ibrahim Saad.

UKM dalam kenyataan berkata, bekas menteri kabinet itu adalah tokoh korporat versatil, di Malaysia dan berpengalaman luas memimpin empat organisasi utama dalam pembangunan infrastruktur, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan pengurusan pelaburan.

Beliau dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi, pada Jun 2013 sehingga Ogos 2016 sebelum dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Bhd, Naib Pengerusi Eksekutif PLUS Expressways Bhd dan Pengerusi Persatuan Bank Dalam Malaysia.

Abdul Wahid dalam kenyataan yang berkata, beliau amat menghargai penghormatan diberikan dan berbesar hati menerima pelantikan itu.

“Peluang keemasan ini memenuhi impian saya untuk menyumbang dalam pendidikan, kepimpinan dan pembangunan sumber manusia. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk UKM dan negara,” katanya.