Categories
EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal hari ini, didorong oleh sentimen pasaran yang positif, dengan belian kukuh dilihat dalam kaunter berkaitan indeks.

Pada jam 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama naik 8.14 mata kepada 1,681.22 daripada 1,673.08 semasa ditutup pada Rabu selepas dibuka tinggi tujuh mata kepada 1,680.21.

Peningkatan dalam IHH Healthcare meningkatkan indeks komposit sebanyak 1.23 mata yang naik lapan sen kepada RM5.78 dengan 10,500 saham bertukar tangan.

Sejajar dengan aliran meningkat di bursa serantau, sentimen Bursa didorong oleh peningkatan dalam prestasi semalaman Wall Street, dengan pelabur yakin mengenai sesi pendapatan korporat selepas beberapa bank melaporkan keputusan suku tahun yang lebih baik daripada jangkaan.

Dalam nota, Maybank IB Research berkata FBM KLCI dijangka berada antara 1,660 dan 1,690 hari ini dengan sokongan penurunan pada 1,658 dan 1,644.

Suasana pasaran secara keseluruhan meningkat dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 171 berbanding 57, manakala 131 kaunter tidak berubah, 1,521 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 112.33 juta saham bernilai RM51.81 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat enam sen kepada RM24.76, Tenaga naik lapan sen kepada RM13.66, Petronas Chemicals menokok empat sen kepada RM8.32, manakala Maybank dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM9.42 dan RM5.65.

Daripada saham aktif, MyEG naik empat sen kepada RM1.12, Bumi Armada menambah satu sen kepada 16.5 sen, manakala Seacera dan Borneo Oil, masing-masing turun 2.5 sen dan setengah sen kepada 21.5 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 56.04 mata kepada 11,636.93, Indeks FBMT 100 meningkat 61.34 mata kepada 11,523.41, Indeks FBM Emas Shariah menambah 72.09 mata kepada 11,568.36, FBM 70 melonjak 96.39 mata kepada 13,766.65 dan Indeks FBM Ace naik 16.13 mata kepada 4,490.32.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 26.84 mata kepada 17,428.59, Indeks Perladangan menambah 56.22 mata kepada 7,206.82, dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.43 mata kepada 161.4.

*Sumber: BERNAMA