Categories
SELANGOR

Isu denggi: Masyarakat diseru ambil langkah pencegahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Masyarakat terutama rakyat Selangor yang berada di lokaliti ‘hotspot’ wabak denggi diseru untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kes itu daripada terus berleluasa.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, denggi tidak boleh hanya ditangani oleh Kementerian Kesihatan sahaja, sebaliknya ia perlu kerjasama daripada semua pihak.

“Kerjasama terutamanya daripada masyarakat setempat, agensi lain termasuk kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan amat penting bagi menjayakan agenda ini.

“Justeru, saya mohon kerjasama semua untuk membabitkan diri dalam aktiviti pembersihan tempat pembiakan Aedes,” katanya ada sidang media Selangor Isytihar Ops Gempur Aedes besar-besaran di Hotel Carlton, di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah turut menasihatkan supaya masyarakat menggunakan semburan aerosol bagi membunuh Aedes dalam kawasan rumah.

Selain itu, katanya, orang ramai digalakkan untuk menyapu krim perlindungan serangga terutama kepada bayi atau kanak-kanak bagi mengelak gigitan nyamuk.

“Meletakkan ubat jentik (Abate) ke dalam bekas takungan air sekitar rumah seperti dalam pasu bunga, bekas tadahan air dan pam tandas juga adalah penting bagi mengelak Aedes daripada terus berleluasa.

“Saya optimis masyarakat dapat berikan kerjasama namun tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati mana-mana pihak sengaja membiarkan pusat pembiakan Aedes tidak dibersihkan,” katanya.

Terdahulu, Selangor dilaporkan antara yang tertinggi mengalami wabak denggi bermula hujung tahun lalu sehingga minggu kedua tahun ini.

Berdasarkan analisa dilakukan Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Selangor mendapati peningkatan adalah melebihi 200 peratus berbanding tahun lalu.

Antara daerah mencatat kumulatif kes tertinggi sehingga 12 Januari lalu adalah Petaling dengan 1,061 kes, Klang (960), Hulu Langat (608) dan Gombak (328).

Manakala, sebanyak 122 lokaliti ‘hotspot’ berjaya dikenal pasti membabitkan 66 di Petaling, Klang (22), Hulu Langat (21), Gombak (12) dan Sepang (satu).

Sehingga kini, sejumlah lima kematian dilaporkan berlaku di Selangor akibat penularan wabak denggi yang semakin tinggi.