Categories
NASIONAL

Kabinet bincang sebaran berita palsu gugat agama

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 31 JANUARI: Mesyuarat kabinet yang berlangsung pada Selasa turut membincangkan penyebaran berita palsu membabitkan sentimen agama dan bangsa yang semakin berleluasa.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, antara berita palsu yang disebarkan kononnya kedudukan Islam, orang Melayu dan Raja di negara ini semakin terancam di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

“Bukan kali ini sahaja kita bincang berkenaan isu perkauman kerana di zaman internet ini berita palsu cepat tersebar dan kadang kala kita ambil masa untuk buat penafian.

“Inilah yang kita bincangkan supaya rakyat dapat maklumat sebenar berkenaan isu semasa dan perkauman yang dimainkan dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Majlis Sumbangan Kupon Membeli Belah Sempena Tahun Baru Cina di Econsave Kampung Jawa di sini,semalam.

Pada masa sama, katanya, kerajaan sentiasa memegang teguh prinsip mempertahankan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan kedaulatan raja-raja.

Katanya, kerajaan juga mendapati penyebaran berita palsu yang memainkan sentimen bangsa dan agama semakin meningkat sejak kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, baru-baru ini.

“Boleh didakwa di mahkamah tetapi kalau boleh kita tak mahu dakwa, kita cuba terangkan balik,” katanya.