LANGKAWI, 30 JAN: Seorang nelayan warga Thailand ditahan bersama daun ketum, air ketum dan ubat batuk pada jarak kira-kira 2.3 batu nautika dari barat laut Tanjung Kemarong, di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, bot nelayan tempatan yang dikendalikan tekong warga asing itu ditahan anggotanya ketika melakukan rondaan dan kawalan sempadanan, pada jam 1.30 tengah hari.
Katanya, pemeriksaaan awal mendapati tekong warga Thailand berusia 51 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota Maritim Malaysia turut menemukan dua bungkusan plastik berisi daun dipercayai daun ketum di dalam kotak simpanan ikan dan bilik kemudi dianggarkan seberat 710 gram.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui 10 botol plastik disyaki air ketum dengan anggaran 500 mililiter (ml) setiap satu.
“Turut dirampas empat botol cecair dipercayai ubat batuk dianggarkan 100 mil setiap satu,” katanya dalam kenyataan.
Rozali berkata, bot bersama tekong dan barangan yang dirampas dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menyeru supaya orang awam melaporkan sebarang aduan jenayah dan kecemasan di laut di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750,” katanya.
*Sumber: BERNAMA