Categories
NASIONAL

Nasib wartawan Reuters ditahan Myanmar perlu dibela – Serantau Muslim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JAN: Nasib dua wartawan yang ditahan Myanmar harus dibela seadilnya, kata Pengarah Media dan Komunikasi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Muhammad Faeez Azahar.

Katanya, pihaknya percaya penahanan wartawan terbabit adalah perangkap oleh pihak tertentu bagi menutup segala laporan jenayah yang dilakukan kerajaan Myanmar.

“Serantau Muslim berharap supaya Myanmar dapat membuat keputusan sewajarnya dan mengadili kes itu sebaiknya kerana ia membabitkan perjuangan hak asasi manusia.

“Kami ingin sekali lagi menegaskan bahawa undang-undang Myanmar yang digubal pada 1923 itu dapat disemak semula dan perlu diadili mengikut dengan keadaan semasa.

“Myanmar tidak perlu menafikan jenayah dilakukan dan media berhak melaporkan berita yang benar serta tepat terutamanya berkenaan isu membabitkan hak asasi manusia,” katanya.

Muhammad Faeez berkata, sebelum ini Myanmar menahan dua wartawan Reuters ketika bertugas bagi siasatan pembunuhan 10 lelaki dan kanak-kanak Islam Rohingya oleh pasukan keselamatan dan penduduk Buddha tempatan di daerah Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.

Katanya, kedua-dua wartawan itu, Wa Lone, 33 dan Kyaw Soe Oo, 29, telah ditahan serta dipenjarakan kerajaan Myanmar pada September 2017 kerana disabitkan dengan kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi Myanmar.

“Kami bersimpati dengan nasib kedua-dua wartawan terbabit kerana dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun sehingga terpaksa mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap keluarga sendiri.

“Pada masa yang sama, tindakan Myanmar itu juga mendapat tentangan daripada diplomat dan badan hak asasi manusia kerana mengabaikan sistem demokrasi,” katanya.