Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Pertumbuhan KDNK Selangor 7.1%, tinggi berbanding nasional

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 12 JAN: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor mencatatkan sebanyak 7.1 peratus, berbanding 5.9 peratus KDNK, di peringkat nasional.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pertumbuhan ekonomi dinikmati Selangor itu membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan dan sokongan untuk rakyat meningkatkan status ekonomi masing-masing.

“Di saat kita berjaya mencatatkan pertumbuhan besar pada kadar 7.1% melampaui kadar nasional, Kerajaan Negeri saban hari berfikir dan merencana supaya pertumbuhan ini dapat disalurkan dengan cara terbaik kepada rakyat.

“Cumanya, dalam kaedah lima tahun akan datang, kita cuba gubal supaya program berbentuk peduli dan sokongan kepada rakyat, bukan hanya program bantuan kewangan serta subsidi percuma tetapi melihat bagaimana untuk memberdaya juga memperkasakan rakyat.

“Usaha ini diteruskan hingga berjaya mengeluarkan mereka yang dibantu daripada belenggu kemiskinan, membawa rakyat daripada satu status kepada status lebih tinggi dan akhirnya mereka pula berjaya membantu yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada institusi agama Sempena program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini, semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan malaksanakan langkah pensejajaran semula terhadap program IPR dengan memfokuskan kepada golongan memerlukan.

“Antaranya skim pemberian air percuma yang ditambah daripada 20 meter padu air kepada 25 meter padu,” katanya.