Categories
SELANGOR

PRU14: Calon wanita tidak penuhi kuota di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JAN: Pembabitan calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) di Selangor, hanya mencecah 25.4 peratus (36 daripada 265 calon) sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus, membuktikan ia belum memenuhi kuota 30 peratus.

Penyelidik Bebas, Dr Tan Beng Hui berkata, jumlah peratusan itu membabitkan Parlimen 10.7 peratus (lapan daripada 75 calon) dan DUN 14.7 peratus (28 daripada 190 calon).

Katanya, dapatan kajian dibuat untuk Institut Wanita Berdaya (IWB) itu mendapati ia masih jauh ketinggalan berbanding di peringkat Parlimen Wilayah Persekutuan (23.7 peratus), Pulau Pinang (17.1 peratus) dan Johor (16.2 peratus).

Manakala, bagi DUN pula, Selangor ketinggalan di belakang Perlis iaitu 17.4 peratus membabitkan 8 daripada 46 jumlah kerusi.

“Bagaimanapun, dapatan ini menunjukkan peningkatan calon wanita berbanding pada PRU13 lalu iaitu kira-kira hampir 50 peratus naik bagi DUN dan 5 peratus bagi kerusi Parlimen.

“Bagi parti komponen pula, DAP mencatatkan 30.8 peratus, Amanah (28.6 peratus) dan KEADILAN (20.0 peratus),” katanya pada Pembentangan Hasil Kajian Penyelidikan Wanita, Penyertaan dan Pemberdayaan dalam politik di Malaysia: Kes PRU14 dan selanjutnya bagi Selangor.

Beng Hui berkata, bagi prestasi keseluruhan, wanita seluruh negara pula mencatatkan 14.4 peratus di peringkat Parlimen iaitu 32 calon daripada 222 kerusi, manakala DUN 12.3 peratus (62 calon daripada 505 kerusi).

Katanya, purata global wanita di Parlimen mencatatkan 24 peratus dan Asia 19.9 peratus dan jumlah itu jauh ketinggalan dari sasaran minima kuota 30 peratus wanita di kedua-dua peringkat.

“Pencalonan wanita di Parlimen berdasarkan parti politik pula mendapati, Parti Warisan Sabah sebanyak 13 peratus (28/221), Barisan Nasional 11.8 peratus (26/222) dan PAS 6.4 peratus (10/157).

“Manakala ‘Yang Hebat’ Parti Bersatu Sabah 40 peratus (2/5), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu 28.6 peratus (4/14) dan KEADILAN 20 peratus (14/70).

“Selain itu, bagi kurang hebat, AMANAH 2.9 peratus (1/34), BERSATU 5.7 peratus (3/53), UMNO 7.6 peratus (9/120) dan PAS 6.4 peratus (10/157),” katanya.

Sementara itu, prestasi calon wanita itu juga menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan apabila semua calon wanita PAKATAN menang dengan tiga majoriti lebih besar dan mengalahkan Timbalan Menteri.

“Semua calon wanita PAS kalah dan satu calon UMNO menang di Hulu Bernam,” katanya.

Pada masa sama, katanya, antara cabaran dihadapi oleh ahli politik wanita Selangor pada PRU14 adalah persepsi masyarakat merujuk mereka hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan kurang berkaliber serta tidak mempunyai peluang tampil ke hadapan juga proses pemilihan calon yang kurang telus.