Categories
NASIONAL

22,640 pemohon terima manfaat program Mobile Ehsan JPN 2018

LANGKAWI, 10 FEB: Sejumlah 22,640 pemohon dokumen pengenalan diri melalui program Mobile Ehsan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima manfaat pelaksanaan program itu di seluruh negara tahun lalu.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, Program Mobile Ehsan menguruskan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan, sijil kelahiran khusus kepada golongan tidak bernasib baik seperti pesakit yang terlantar atau orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, program Mobile Ehsan turut dilaksanakan di kawasan pedalaman dan sukar untuk pemohon mendapatkan akses ke pejabat JPN.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu, JPN telah menerima 23,526 permohonan, daripada jumlah terbabit, 22,640 telah berjaya diselesaikan dan mereka sudah menerima kad pengenalan dan sijil kelahiran masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan kepada dua pemohon di sini, hari ini.

Dua pemohon itu ialah seorang remaja perempuan, Nur Aishah Mahazir dari Kampung Bukit Kemboja yang menghidap penyakit lebihan cecair dalam otak atau hydrocephalus sejak lahir dan seorang warga emas, Chin Md Amin dari Kampung Ulu Melaka yang mengalami masalah strok saraf.

Mengulas lanjut, Mohamad Razin berkata, menerusi pelaksanaan program terbabit pemohon tidak perlu pergi ke pejabat JPN sebaliknya pegawai jabatan akan ditugaskan pergi ke rumah atau lokasi untuk menguruskannya.

“Permohonan boleh dilakukan oleh waris, penjaga, pemimpin masyarakat seperti Anggota Dewan Negeri atau Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

“Sebaik terima permohonan, kita akan segera ambil tindakan, pegawai akan turun ke lokasi untuk menguruskannya. Setakat ini tiada ‘backlogged’ dalam permohonan kerana JPN mahu pastikan setiap warganegara mendapat perkhidmatan sewajarnya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA