Categories
EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan pembetulan teknikal terlebih jual, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,688.28, naik 1.76 mata daripada 1,686.52 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks dibuka tinggi 2.18 mata kepada 1,688.7.

Peniaga berkata, pembetulan itu dijangka menggalakkan pemulihan pasaran daripada jualan berterusan pada minggu lalu di kebanyakan saham berkaitan indeks berikutan sentimen belian yang rendah dengan prestasi serantau yang lemah dan cuti panjang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Sokongan segera bagi indeks akan berada pada 1,680 manakala halangan terdekat kekal pada paras tertinggi baru-baru ini pada 1,705,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.61, TNB naik empat sen kepada RM13.24 dan CIMB menokok dua sen kepada RM5.69.

Public Bank dan Petronas Chemicals, masing-masing tidak berubah pada RM24.92 dan RM8.45.

Daripada saham aktif, JAG naik setengah sen kepada 8.5 sen dan Prestariang menambah 2.5 sen kepada 38.5 sen.

Sapura Energy, Bumi Armada dan Scomi, masing-masing tidak berubah pada 28 sen, 23.5 sen dan enam sen.

Indeks FBM Emas naik 8.7 mata kepada 11,734.22, Indeks FBMT 100 meningkat 8.74 mata kepada 11,610.28 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 3.87 mata kepada 11,596.9.

Indeks FBM Ace meningkat 10.84 mata kepada 4,566.06, bagaimanapun FBM 70 susut 3.2 mata kepada 14,029.7.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.311 mata kepada 17,670.42, Indeks Perladangan meningkat 2.49 mata kepada 7,302.09 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.07 mata kepada 162.04.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 166 berbanding 72, manakala 183 kaunter tidak berubah, 1,432 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 231.38 juta saham bernilai RM69.64 juta.

SUMBER: BERNAMA