Categories
SELANGOR

Lulus RM500,000 Bantuan Khas OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 FEB: Sejumlah RM500,000 diluluskan Kerajaan Negeri untuk Bantuan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bantuan itu adalah khas buat golongan OKU yang mengalami kes tertentu seperti kecemasan.

“Bantuan khas ini terbuka kepada golongan OKU yang mengalami penyakit tertentu dan memerlukan pemeriksaan dengan kadar segera.

“Untuk membuat permohonan, mereka boleh memohon di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan Majlis Tindakan OKU akan menyemak untuk mengukur kelayakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Media dan Pra Pelancaran Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) 2019, di Lobi Utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini.

Pada masa sama, katanya, setiap pemohon berkelayakan boleh memohon sekurang-kurangnya RM5,000.

Terdahulu, Karnival 3W akan diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Ia akan dilancarkan pada 10 Februari ini dengan tema Sambutan Hari Kanser Sedunia di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.