Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Seri Setia meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

KELANA JAYA, 24 FEB: Hampir 1,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Suasana dimeriahkan dengan paluan gendang tradisional dan tarian singa yang menjadi tradisi perayaan berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya, Halimey Abu Bakar berkata, majlis berkenaan dianjurkan bagi melahirkan rasa cinta antara satu sama lain dan memupuk sifat harmoni antara kaum, khususnya di DUN terbabit.

“Walaupun diadakan secara sederhana tetapi pelbagai bangsa hadir memeriahkannya.

“Saya berharap jamuan sempena sambutan perayaan masyarakat Tionghua ini dapat membuka ruang luas bagi kita memupuk nilai keprihatinan, saling menghormati dan menyayangi serta berkongsi kegembiraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di Perkarangan Pasaraya Beli Belah Giant, di Kelana Jaya, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Pada masa sama, Halimey berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang dan ruang kepada semua kaum untuk bersama-sama terbabit dalam memimpin serta membangunkan negeri selaras dengan konsep ‘Maju Bersama’.

“Majlis itu juga dihadiri pelbagai lapisan masyarakat selain Tionghua.

“Ini menunjukkan, penduduk di DUN Seri Setia hidup dengan aman dan muafakat antara satu sama lain,” katanya.