Categories
NASIONAL

Bekas Ahli Parlimen Pensiangan meninggal dunia

KOTA KINABALU, 9 MAC: Bekas Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Dr Bernard S Maraat, meninggal dunia awal hari ini, di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Maraat, 68, yang menghidap penyakit kencing manis kronik, meninggal dunia pada 3.05 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu, semalam.

Bercakap kepada Bernama, anaknya Clarence berkata, mayat mendiang akan dibawa ke Kampung Liawan, Keningau untuk pengebumian.

Maraat adalah anggota Parlimen Pensiangan bagi penggal 2004-2008.

Sebelum terbabit dalam politik, beliau adalah penerbit di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, pada tahun 80-an.

Menurut rakan yang pernah berkerjasama dengan mendiang, Pengarang Bernama News Channel, Newmond Tibin, lulusan bidang filem dan komunikasi daripada New York University itu adalah seorang penerbit yang kreatif, berwawasan serta tidak lokek ilmu.

Newmond berkata, pemergian mendiang disifatkan kehilangan besar kepada masyarakat Murut kerana beliau antara pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Sepanjang menjadi anggota parlimen, beliau sangat rajin melawat kawasan dan turut berkongsi hasratnya yang komited untuk membantu memajukan Pensiangan,” katanya. -BERNAMA