Categories
SELANGOR

Hadith Open Mic suntik semangat usahawan

OLEH HAFIFA AWANG

SHAH ALAM, 3 MAC: Program Hadith Open Mic menjadi landasan kepada masyarakat khususnya usahawan Bumiputera Islam berkongsi pandangan dan idea untuk berjaya dalam perniagaan.

Program agama berkonsep sesi ‘Open Mic’ anjuran bersama PKNS BizClub dan Kengkawan Project di PKNS BizPoint di sini, Jumaat lalu, menarik perhatian penonton yang ingin mengikuti perkongsian daripada usahawan berjaya.

Pendakwah bebas, Mohd Fakhrurazzi Mohd Hanapi atau PU Razi berkata, ia membuka ruang antara orang ramai dan usahawan Bumiputera Islam mengeratkan silaturahim serta menimba nasihat, panduan juga ilmu perniagaan.

“Rezeki itu tidak pernah salah alamat. Kita yang seharusnya tekad berusaha dan bermoral dalam menjalankan apa jua perniagaan.

“Orang yang berniaga memang boleh mengejar kekayaan tetapi hendaklah dilaksanakan dengan cara betul serta ada juga pahit manisnya namun selepas mengharungi kesusahan dan cabaran, baharu kita dapat merasai betapa indahnya kejayaan dikecapi,” katanya.

Hadith Open Mic adalah siri pertama bagi sesi 2019 membawakan perkongsian mengulas topik “Berniaga: Susah atau Senang” bagi memberi inspirasi dan menyuntik semangat keusahawanan dalam masyarakat masa kini.

Program seperti itu diharap dapat diperbanyakkan supaya dapat memberi pendedahan lanjut berkenaan aspek kaedah perniagaan Islam dan hukum berniaga.

FOTO KREDIT: PKNS BizPoint