Categories
NASIONAL

Suami isteri direman bantu siasatan kes bunuh kanak-kanak

LANGKAWI, 7 MAC: Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari, bermula hari ini susulan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan tiga tahun di dalam sebuah gaung, di Gunung Raya, di sini, pagi semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Ridzwan Salleh, di Mahkamah Majistret Langkawi.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira jam 9 pagi, sebelum beredar kira-kira jam 10.45 pagi.

Pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, polis menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya, pada Ahad lalu.

Tengkorak dan cebisan mayat kanak-kanak yang dipercayai dibunuh itu ditemui di dalam sebuah gaung, di Gunung Raya, di sini, di lokasi yang terletak kira-kira sembilan meter dari jalan raya,

Seorang suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan berkaitan kes kehilangan kanak-kanak perempuan itu membawa polis ke lokasi di mana mayatnya dikatakan dibuang. -BERNAMA

LANGKAWI, 7 Mac — Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim (kiri) menunjukkan gaung di Gunung Raya lokasi mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan pagi tadi.
Mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah ditemui pada 11.30 pagi oleh sepasukan polis selepas dibawa ke kawasan itu oleh seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kehilangan kanak-kanak itu.
Nur Aisyah Aleya dilapor hilang ketika dalam jagaan sepasang suami isteri sejak akhir bulan lepas dan pasangan yang menjaga kanak-kanak itu dilapor menghilangkan diri selepas itu.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA