Categories
SELANGOR

Amirudin luang masa ziarah legenda bola sepak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, meluangkan masa menziarahi legenda bola sepak negara Anuar Abu Bakar, yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Sunway, semalam.

Lawatan itu turut disertai Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan usahama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melancarkan ‘Tabung Legenda Anuar Abu Bakar’, bagi membantunya menampung kos rawatan penyakit kanser hati yang dihidapinya.

Anuar, 48, yang juga Ketua Jurulatih Akademi Soccerkids MBSA pernah membantu Red Giants menjadi Juara Piala Liga Premier dan Juara Piala Malaysia selain menyarung jersi pasukan Johor, Pulau Pinang serta Kelantan.

Beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Kemerdekaan (1995), Sukan SEA di Thailand (1996) dan Kejohanan Piala Tiger di Singapura (1996).

Anak kelahiran Muar, Johor itu turut berjaya membawa pasukan Soccer Kids MBSA memenangi pelbagai kejohanan antaranya Johan Karnival Bolasepak Remaja Bawah 10 tahun Piala Adun Batang Kali 2016, Johan Karnival Bolasepak Remaja Bawah 15 tahun 2016, Johan Piala Timbalan Menteri Pendidikan Rawang, Johan Kejohanan Piala Qhaleefa Tunas Muda Klang 2016 Bawah 9 tahun dan Johan Kejohanan TALENT CUP 2016 Johor.

Sumbangan boleh diberikan ke Tabung Legenda Abu Bakar atau boleh terus disalurkan ke akaun Maybank 114348093007 (Siti Mariam Sathawee).

Sementara itu, akaun twitter FA Selangor melaporkan tabung lagenda itu berjaya mengutip sebanyak RM6,771 selepas dilancarkan pada perlawanan menentang Terengganu.