Categories
SELANGOR

Selangor tegas larang warga asing berniaga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 APRIL: Selangor tegas menjalankan penguatkuasaan larangan terhadap warga asing daripada menjalankan perniagaan, di negeri itu.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, tindakan itu diambil bagi melindungi kepentingan peniaga tempatan.

“Kehadiran peniaga warga asing ini mampu menutup peluang warga tempatan untuk berniaga.

“Sejak awal tahun ini, kita sudah mula menjalankan operasi membanteras peniaga asing daripada terus berleluasa di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SACC Walk Fiesta Flea Market di perkarangan SACC Mall dan Wisma PKNS di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Rodziah berkata, perbuatan segelintir peniaga tempatan menyalahgunakan tapak dan lesen perniagaan dengan menyewakan kepada peniaga warga asing perlu dihentikan.

Katanya, kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan agensi penguat kuasa mampu membersihkan Selangor daripada kebanjiran peniaga warga asing.