Categories
SELANGOR

Ubah stigma terhadap anak luar nikah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 6 APRIL: Masyarakat diminta membetulkan semula stigma terhadap anak luar nikah dan perlu bertanggungjawab menjaga anak itu, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan media berkaitan jumlah pembuangan bayi yang semakin meningkat.

Katanya, antara punca masalah itu ialah kebimbangan keluarga terhadap cemuhan masyarakat.

“Sebahagian masyarakat konservatif berpandangan jika diterima anak itu, ia akan jadi satu normalisasi lalu mengakibatkan orang tidak takut halal haram. Fikiran begitu perlu diperbetulkan semula.

“Perkara yang penting kita fikirkan adalah anak itu, kita perlu jaga dan selamatkan,” katanya ketika ditemui media pada Karnival Wellness, Welfare, Women (3W), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, isu terbabit sesuatu yang serius dan refleksi kepada gejala sosial di negara ini.

Dr Mariah berkata, perkara utama yang jperlu difikirkan adalah mencari solusi kepada masalah itu dan tidak berterusan menyalahkan pelaku.

“Bagi mereka yang sudah terjebak dan ingin berubah, boleh pergi ke pusat kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Kita tiada kuasa undang-undang di sini untuk menghukum, jadi buat masa ini kita perlu terus dengan cara mendidik,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan lebih daripada 100 bayi dibuang setiap tahun di Malaysia dengan 60 peratus daripadanya sudah tidak bernyawa.