Categories
NASIONAL

KPDNHEP keluar 447 notis amaran kepada peniaga bazar Ramadan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 447 notis amaran kepada peniaga bazar Ramadan di seluruh negara kerana gagal meletakkan tanda harga sejak hari pertama Ramadan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun berkata tiada sebarang tindakan kes diambil terhadap peniaga terbabit kerana kementerian itu lebih banyak menggunakan pendekatan memberi peringatan.

“Daripada 35,000 premis perniagaan bazar Ramadan yang diperiksa penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara, sebanyak 447 notis amaran dikeluarkan.

Berdasarkan angka itu menunjukkan peniaga bazar Ramadan mengamalkan tahap kepatuhan tinggi dengan memaparkan tanda harga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemantauan harga sempena program ‘Raya Sempoi With Touch N Go (TnG) E-Wallet’ di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata bagi 833 premis bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur, 44 notis amaran dikeluarkan kepada peniaga dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TnG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin berkata orang ramai kini boleh membeli juadah berbuka puasa tanpa tunai di 400 premis Bazar Ramadan Jalan Raja Alang melalui aplikasi TnG e-wallet.

Katanya, sebagai projek perintis Bazar Ramadan pertama tanpa tunai, pihaknya menyasarkan 10 peratus nilai jual beli melalui kaedah berkenaan.

-BERNAMA