Categories
NASIONAL

MAHB sedia latihan ORAT bagi kru di klia2

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan mengadakan latihan Kesediaan Operasi dan Pemindahan (ORAT) bagi pusat pemprosesan khusus baharu untuk kru yang akan berlepas di klia2, bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, latihan ORAT yang akan diadakan selama dua minggu itu, merupakan latihan simulasi yang akan memastikan sistem itu berfungsi sepenuhnya serta membolehkan semua pihak berkepentingan bersedia menjalankan peranan khas mereka.

“ORAT ialah proses kritikal kerana memberi peluang keemasan kepada pihak berkepentingan untuk membiasakan diri dengan kemudahan baharu, menyediakan maklum balas dan menggerakkan pelan kontigensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata maklum balas yang diterima akan membolehkan MAHB menilai sama ada kemudahan yang disediakan adalah mencukupi dan menyediakan penambahbaikan yang diperlukan.

“Sebaik keperluan keselamatan dan operasi tersedia, pusat pemprosesan khusus ini akan bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.

Beliau berkata ujian operasi yang berbeza akan diadakan semasa latihan ORAT dan setiap aspek operasi akan menjalani percubaan seperti aliran proses keselamatan bagi kru yang akan berlepas, pemeriksaan imigresen dan kastam, keberkesanan peralatan seperti mesin x-ray, kenderaan olah gerak bagi mengambil dan menurunkan, selain prosedur susulan sekiranya berlaku kegagalan sistem.

“Kecekapan yang mungkin diraih hasil daripada penubuhan pusat pemprosesan khusus itu dijangka memberi manfaat kepada penumpang bagi membolehkan syarikat penerbangan itu menawarkan lebih banyak laluan dan meningkatkan kekerapan penerbangan dengan masa pusing balik yang lebih pantas,”katanya.

Ia juga dijangka mengurangkan masa pemprosesan kru pelepasan dan meningkatkan kecekapan operasi bagi rakan kongsi syarikat penerbangan di klia2, khususnya AirAsia.

“Kemudahan itu bukan sahaja membantu mengurangkan tempoh perjalanan bagi kru untuk ke pintu pelepasan domestik dan antarabangsa sehingga 66 peratus dan 40 peratus, malah ia merupakan bukti kukuh komitmen kami bagi memudahkan pertumbuhan rakan kongsi syarikat penerbangan,” katanya.

-BERNAMA