Categories
SELANGOR

#MySchoolGoals perkasa budaya membaca dalam kalangan pelajar

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 MEI: Festival Antarabangsa #MySchoolGoals bakal dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya, pada 30 Julai ini, bagi menyahut saranan Kerajaan Negeri memperkasakan budaya membaca.

Pengurus program, Adibah Omar berkata, festival julung kali diadakan itu bakal mengetengahkan tiga komponen utama iaitu FokusBaca, Pertandingan Terbuka Rakan Strategik dan FokusMomen.

“FokusBaca membawa tiga program utama antaranya program bertukar buku terbesar di Malaysia dan Pesta Buku Remaja yang terbuka kepada semua sekolah di Malaysia serta Asia Tenggara.

“Manakala Pertandingan Terbuka Rakan Strategik mengadakan pelbagai pertandingan menarik seperti laporan berita melalui Instagram dan pertandingan menghasilkan video pendek.

“Sementara FokusMomen yang berkolaborasi dengan Tourism Selangor bakal mempromosikan produk pelancongan serta budaya masyarakat tempatan khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Lunak (Soft Launching) Festival Antarabangsa di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini hari ini.

Pada masa sama, Adibah berkata, SMK TTDI Jaya menyasarkan lebih 500 penyertaan dalam pertandingan itu dan dimeriahkan dengan kehadiran 3,000 pengunjung.

“Pelajar yang menyertai pertandingan ini turut berpeluang memenangi sijil diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Festival Antarabangsa #MySchoolGoals menerima sokongan penuh McDonalds Malaysia, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Tourism Selangor.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.myschoolgoals.com.