Categories
PBT

30 senarai kilang plastik haram diserah kepada Suruhanjaya Tenaga

 

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 20 JUN : Sebanyak 30 senarai nama dan alamat kilang plastik haram sekitar Klang sudah diserah kepada Suruhanjaya Tenaga (ST), semalam.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, hal itu bertujuan bagi mendapatkan kelulusan daripada ST untuk melaksanakan program penguatkuasaan kepada MPK untuk memotong bekalan elektrik dan air di kilang terbabit sekaligus menghentikan operasi mereka.

Katanya, antara kilang yang termasuk dalam senarai itu adalah di kawasan Teluk Gong, Pulau Indah dan di Taman Perindustrian Sobena.

“Sebelum ini kita memang ada pergi kilang plastik haram itu dengan pihak Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Bekalan Air tetapi tidak dapat melaksanakan kerja pemotongan kerana tiada kelulusan daripada ST.

“Namun, selepas mendapat kelulusan nanti kita akan memulakan operasi dan memastikan kilang plastik haram semua ini ditutup dengan memotong bekalan elektrik dan air mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri bersama MPKlang 2019 di Taman Pengkalan Batu, Kawasan 1, di sini, hari ini.

Mengulas faktor kewujudan kilang plastik haram yang semakin berleluasa, Mohamad Yasid berkata, ia berpunca daripada sifat kedegilan pengilang itu sendiri.

“Sebab bekalan elektrik dan air premis itu tidak dipotonglah punca mereka ini berani meneruskan operasi kilang haram terbabit.

“Malah, pengilang ini kebanyakannya degil walaupun kita sudah beri amaran, notis, kompaun dan sita namun mereka tetap tidak takut.

“Hal ini kerana mereka tahu kuasa MPK ini terhad, lainlah sekiranya kita ada kuasa besar boleh menangkap tetapi kuasa kita cuma memberi notis dan arahan,” katanya.