Categories
NASIONAL

Hasil mesyuarat AS-China penentu prestasi ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Prestasi ringgit pada minggu depan dijangka akan dipengaruhi hasil mesyuarat penting antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping pada hujung minggu ini.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata sebarang usaha yang dipaparkan oleh kedua-dua pemimpin bagi meredakan ketegangan akan membantu meningkatkan sentimen pasaran serta mata wang Asia dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, ringgit akan turut dipengaruhi keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya pada minggu depan ketika pengeluar utama berusaha mengimbangkan dinamik antara bekalan dan permintaan.

“OPEC dan sekutunya dijangka meneruskan langkah mengurangkan pengeluaran sehingga ke separuh kedua tahun ini yang mungkin mengekang sokongan terhadap mata wang (negara) berkaitan minyak, termasuk ringgit,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau berkata angka dagangan luar Malaysia bagi Mei mampu memberi sokongan terhadap ringgit dengan syarat ia menunjukkan kesan negatif terhad daripada ketegangan perdagangan AS-China dalam bulan sama.

“Sekiranya ini menjadi pemangkin positif terhadap ringgit dengan kesannya dapat dilihat pada minggu depan, ringgit/dolar US boleh bergerak ke arah purata 4.12 selain turut didorong oleh kelemahan dolar US,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit kebanyakannya ditutup lebih tinggi berbanding dolar US, disokong oleh kelemahan sentimen susulan kenyataan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang tidak cenderung menaikkan kadar faedah.

Ini akan turut dipengaruhi oleh keyakinan terhadap hasil pertemuan antara pemimpin AS-China di luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Negara (G20) di Osaka, hujung minggu ini.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.1300/1350 berbanding dolar AS daripada paras 4.1480/1510.

Ringgit turut tinggi berbanding kebanyakan kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0520/0568 daripada 3.0545/0576, meningkat berbanding yen kepada 3.8354/8412 daripada 3.8568/8607 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2352/2419 daripada 5.2505/2552.

Namun, berbanding euro, ringgit susut kepada 4.7012/7085 daripada 4.6864/6915.

-BERNAMA