Categories
NASIONAL SUKANKINI

Logo, maskot, slogan Sukma 2020 dijangka dilancar Julai ini

ISKANDAR PUTERI, 14 Jun : Logo, maskot dan tagline atau slogan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal dianjurkan di negeri ini, tahun hadapan dijangka dilancarkan Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata ketika ini, pihak Sekretariat Sukma Johor sedang dalam perancangan bagi melaksanakan majlis berkenaan.

“Pihak sekretariat juga sedang dalam perancangan untuk membuat pemakluman berkaitan sistem pendaftaran sukarelawan bagi Sukma 2020. Mengikut anggaran, Sukma 2020 memerlukan sekitar 3,000 sukarelawan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Sukma 2020 bakal berlangsung pada 11 hingga 19 Julai tahun hadapan dan mengikut rekod, ini adalah kali kedua Johor menjadi tuan rumah Sukma selepas kali pertama menganjurkannya pada 1992.

Sheikh Umar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata setakat ini proses pembinaan venue membabitkan stadium olahraga, stadium tertutup, velodrom serta menaik taraf pusat akuatik berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Beliau berkata kesemua venue berkenaan perlu disiapkan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum Sukma 2020 berlangsung bagi membolehkan ujian terhadap kesemua venue itu dilakukan.

“Kesemua venue ini ada yang 80 hingga 90 peratus siap dan ada yang baru 10 peratus bermula pembinaannya. Stadium Mount Austin, misalnya, sudah pun siap sehingga 90 peratus pembinaannya, kecuali hanya tinggal sedikit masalah utiliti elektrik dan sebagainya.

“Stadium Tertutup Arena Larkin dan pusat akuatik pula sudah siap 80 peratus manakala pembinaan velodrom baru sahaja 10 peratus siap,” katanya dan menambah pihaknya berkeyakinan kesemua venue berkenaan mampu disiapkan seperti dirancang.

Menurut Sheikh Umar, bagi memberi kemudahan tontotan kepada orang ramai, pihaknya turut bercadang untuk menyiarkan secara langsung acara temasya Sukma 2020 itu menerusi YouTube memandangkan acara yang boleh ditonton di televisyen amat terhad.

“Selaras dengan kempen Tahun Melawat Johor 2020 pula, kita juga bersedia menyediakan platform bagi mempromosikan pelancongan di negeri ini. Kita dalam rangka menyediakan maskot dan promosi menerusi akhbar serta media sosial, namun, kita sedang menunggu kandungan pelancongan (content) daripada pihak Jabatan Pelancongan,” katanya. -BERNAMA