Categories
SELANGOR

Pengguna runsing harga cili cecah RM38 sekilogram

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Pengguna di negeri ini mula runsing apabila harga cili merah didakwa melambung kepada RM38 sekilogram.

Siti Aminah Shamsuddin, 39, berkata hampir setiap minggu dia akan ke pasar di Klang bagi mendapatkan bekalan cili merah untuk memasak sambal hitam Pahang.

Namun, dia terkejut apabila mendapati harga cili berkenaan mencecah RM33 sekilogram.

“Pada saya, harga yang dikenakan ini agak melampau kerana cili merah adalah bahan penting untuk menu Sambal Hitam Pahang yang juga salah satu perniagaan yang sedang saya usahakan.

“Apabila harga bahan ini naik, sudah tentu ia membebankan,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Suzana Suhaimi, 55, dia juga terkejut apabila mendapati harga cili merah di salah sebuah pasar raya di sini mencecah RM38 sekilogram.

“Saya berharap supaya pihak yang berkenaan memantau perkara ini dan menyenaraikan cili merah sebagai barang kawalan.

“Kawan-kawan dari luar Selangor turut memaklumkan harga cili di tempat mereka naik sama seperti di sini,” katanya.

Sementara itu, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya dimaklumkan pihak KPDNHEP masih belum mendapat aduan sedemikian, bagaimanapun mereka akan membuat semakan,” katanya.