Categories
NASIONAL

Zuraida: Tiada siapa nasihat untuk rujuk Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak menerima apa-apa nasihat berkaitan pelantikan peguam untuk inkues berkaitan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Zuraida berkata apabila Syazlin Mansor menjalankan tugasnya, beliau tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak, dan menganggap pelantikan peguam itu adalah betul.

“Saya tidak dinasihatkan oleh mana-mana peguam jika saya hendak melantik, saya perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Jadi saya buat lantikan terus, sendiri. Disepanjang perjalanan inkues itu, tiada sesiapa yang membangkitkan isu tersebut… Saya ingat semua ok dan betul,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Speedhome, satu platform yang menghubungkan pemilik bangunan secara terus, kepada penyewa dengan menyediakan perlindungan sewaan dan khidmat pembelian rumah, di sini hari ini.

Platform Speedhome yang tidak mengenakan deposit dan juga komisen itu, pada masa ini mempunyai data lebih 56,000 senarai hartanah dan 63,000 potensi senarai penyewa.

Sementara itu, Zuraida berkata seorang peguambela akan dilantik bagi mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada inkues Muhammad Adib.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Peguam Negara Tommy Thomas berkata Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan, kerana beliau mewakili kementerian tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Muhammad Adib dalam inkues mengenai kematian anggota bomba itu.

Thomas juga berkata Syazlin mengambil kedudukan bercanggah sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang merupakan pegawai menjalankan prosiding, dan perkara itu memalukan beliau atas kapasitinya sebagai peguam mewakili kementerian. – BERNAMA