Categories
AGENSI SELANGOR

Gelanggang sukan di tiga PPR dinaik taraf

PETALING JAYA, 19 JUL : Gelanggang sukan di tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Klang yang rosak dan sudah tidak selamat digunakan akan dinaik taraf menerusi inisiatif EdgeProp.my-Paramount Property Sayangi Rumahku.

Inisiatif itu membabitkan kerjasama tiga sektor swasta iaitu EdgeProp Malaysia, Paramount Property Development Sdn Bhd dan Nippon Paint Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohammad Mentek berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 16,000 penduduk yang tinggal di 4,116 unit PPR Lembah Subang 1, Seri Cempaka dan Perumahan Awam Seri Kedah.

“Inisiatif EdgeProp.my-Paramount Property Sayangi Rumahku ditubuhkan bagi menyokong Dasar Komuniti Negara (DKN) dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Februari lalu.

“Dasar ini diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan khususnya di kawasan perumahan berstrata dan beri manfaat golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah sempena Program Sayangi Rumahku di PPR Lembah Subang di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohammad berkata, gelanggang sukan berwajah baharu dan lebih selamat untuk digunakan itu dijangka siap pada akhir tahun ini.

Katanya, beliau menggesa penduduk PPR untuk menggunakan gelanggang sukan itu dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap mereka tidak merosakkan gelanggang itu nanti kerana tindakan sedemikian tidak memanfaatkan sekali gus merugikan semua pihak terutama penduduk sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Editor dan Pengarah Urusan EdgeProp Malaysia, Au Foong Yee berkata, pihaknya bertungkus-lumus menjayakan program DKN dengan menggembleng tenaga dan sokongan daripada pemaju perumahan.

“Kami amat terharu dengan objektif DKN yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan dan mengubah kehidupan golongan masyarakat B40.

“Malah, daripada peringkat awal lagi kami sudah menerima maklum balas positif dan berharap lebih ramai pemaju dapat menyertai program bermakna ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)