Categories
AGENDA NASIONAL

Graduan perubatan perlu guna sijil asal daftar dengan MPM

SHAH ALAM, 24 JUL: Graduan perubatan yang layak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) perlu mengemukakan ijazah asal perubatan daripada universiti atau kolej perubatan diiktirafnya.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, MPM seterusnya akan mengeluarkan Surat Layak Daftar kepada pemohon bagi kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Katanya, bagi memudahkan lantikan graduan perubatan ke jawatan berkaitan, KKM dan MPM memutuskan bahawa pemberian Surat Layak Daftar juga kini dipanjangkan kepada graduan perubatan yang mengemukakan transkrip akhir universiti (keputusan peperiksaan akhir) ditandatangani Presiden, Senat, Rektor atau Pendaftar Universiti sebagai alternatif.

“Kriteria ini sejajar dengan Akta Perubatan 1971 dan Surat Layak Daftar dengan nombor siri akan diberikan MPM kepada graduan perubatan terbabit.

“Ia akan digunakan untuk pendaftaran/permohonan secara atas talian melalui SPA8i dengan pihak SPA.

“Dimaklumkan juga bahawa surat Dekan dikeluarkan Fakulti Perubatan adalah tidak diterima. Tiada perubahan dalam proses untuk permohonan bagi pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu beberapa graduan perubatan yang tidak berjaya mendapat Surat Layak Daftar dari MPM untuk kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, namun bagi calon yang telah ditawarkan lantikan tetapi tidak mempunyai dokumen dinyatakan adalah dinasihatkan supaya mendapatkannya dari universiti atau kolej perubatan dengan kadar segera.

Katanya, ia kemudiannya perlu dikemukakan kepada MPM.

“Graduan perubatan berkaitan tidak perlu khuatir kerana tawaran pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah kepada pemohon adalah tidak terbatal dan lantikan akan terus dibuat pada kumpulan pengambilan yang akan datang setiap dua bulan,” katanya.