Categories
AGENDA SUKANKINI

Kaunter tiket final Piala FA dibuka 10.30 pagi ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kaunter tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 membabitkan dua gergasi utara, Kedah menentang Perak akan dibuka serentak di kedua-dua negeri, bermula 10.30 pagi ini.

Aksi final Piala FA antara Kedah berdepan Perak bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu ini.

Di Ipoh, tinjauan Bernama mendapati penyokong skuad bola sepak Perak mula ‘berkampung’ di pekarangan Stadium Perak untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA itu sejak tengah malam tadi.

Sementara itu di Kedah, walaupun hujan pada awalnya, tidak menghalang penyokong skuad Hijau Kuning berhimpun di pekarangan Stadium Darul Aman di Alor Setar sejak lewat malam, semalam.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini, menetapkan sebanyak 80,000 keping tiket disediakan untuk perlawanan akhir Shoppee Piala FA 2019.

Agihan tiket berkenaan memperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak, masing-masing kepada setiap pasukan dengan harga jualan RM50 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak bawah 12 tahun).

Baki 18,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak pula dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my.

Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebelum ini memaklumkan daripada 30,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Perak, 15,000 akan dijual di Stadium Perak, manakala 12,000 tiket diagihkan ke seluruh daerah dan baki 3,000 dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan berkaitan.

Selain di Stadium Perak, penyokong skuad The Bos Gaurus boleh mendapatkan tiket di Stadium Mini Parit Buntar; Pejabat Kemas Kampung Gajah; kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan; Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Tanjung Malim; PDT Lenggong, Dewan Jubilee Perak (bagi daerah Kuala Kangsar), dan bagi daerah Manjung di Stadium Mini Manjung, sehingga 3.30 petang.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memaklumkan 20,000 daripada 30,000 tiket final akan dijual di kaunter stadium manakala baki 10,000 lagi adalah untuk kenamaan dan pembesar negeri, penaja, ahli eksekutif, ahli gabungan serta pasukan.

Skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmed Durakovic mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Pahang menerusi agregat 4-3, manakala Kedah di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak ke pentas final menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 3-3 berdepan Felda United.

Untuk rekod, kali terakhir Perak berjaya ke final adalah pada edisi 2005, menentang Selangor namun tewas 2-4, manakala Kedah membawa pulang Piala FA pada edisi 2017 selepas menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

-BERNAMA