Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN pecat Haziq daripada parti

PETALING JAYA, 4 JULAI: KEADILAN memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan serta merta, kata presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan pemecatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu dibuat secara sebulat suara, pada Mesyuarat Biro Politik KEADILAN yang berlangsung malam tadi.

“Lembaga Disiplin memberi syor memecat Haziq Abdullah dan Biro Politik yang bermesyuarat malam ini membuat keputusan menerima syor itu, serta sebulat suara bersetuju memecat beliau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Pengerusi Lembaga Displin KEADILAN, Datuk Ahmad Kasim berkata, Haziq melanggar tatacara disiplin parti dengan tuduhan yang telah dibuat secara terbuka, termasuk mendakwa bahawa beliaulah lelaki yang bersama seorang pemimpin KEADILAN dalam video seks viral.

“Antara alasan lain adalah dia secara terbuka menuduh pemimpin parti korup, tanpa memberikan bukti. Pemecatan ini juga mengambil kira selepas tamat tempoh 14 hari Haziq diarah memberikan surat tunjuk sebab menjelaskan dakwaannya.

“Lembaga disiplin sudah menerima jawapan balas daripada Haziq. Selepas meneliti surat itu mesyuarat biro politik memutuskan perkara ini. Surat berkaitan perkara itu (pemecatan) akan dikeluarkan secepat mungkin dan diserahkan kepada Haziq,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual, dengan seorang daripadanya didakwa menyerupai salah seorang menteri Kabinet.

Pada 12 Jun lalu, Haziq yang merupakan bekas pegawai Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengakui dirinya terbabit dalam rakaman video intim yang tular itu.

-BERNAMA