Categories
PENDIDIKAN

KPM sambut baik saranan Tun M berhubung isu PPSMI

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata pihaknya sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perkara ini dengan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.

“KPM sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan anak-anak kita supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.

“Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan anak-anak Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, KPM sedang mengkaji secara terperinci pelaksanaan semula dasar PPSMI selaras dengan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Perdana menteri berkata melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.

-BERNAMA