KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi hos edisi ke-20 Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) dari 1 hingga 3 November ini bagi memastikan acara istimewa itu terpahat dalam ingatan, baik oleh peminat mahupun pelumba.
Sejak penganjuran edisi sulung di litar sepanjang 5.543km itu pada 1999 – hasil cetusan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – acara itu menjadi perlumbaan motosikal terulung di rantau Asia Tenggara.
Selain ulang tahun ke-20, acara tahun ini juga serentak dengan tahun ke-10 penajaan Shell untuk GP Malaysia dan ulang tahun ke-70 MotoGP, yang bermula pada Januari 1949 dengan acara yang terdiri daripada Isle of Man TT, GP Switzerland, TT Belanda, GP Belgium, GP Ulster dan GP of Nations di Monza.
Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya berkata detik bersejarah itu adalah peristiwa istimewa kerana SIC telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk memastikan kualiti perlumbaan berada di tahap tertinggi.
“Ia merupakan penghormatan besar untuk menyaksikan ulang tahun ke-20 GP Malaysia tahun ini – dan juga ulang tahun ke-70 MotoGP. Selama 20 tahun, kami telah berusaha keras untuk memastikan kualiti GP Malaysia berada di tahap tertinggi dan kami telah membuktikan dengan kejayaan kami sebagai Grand Prix Terbaik pada 2012 dan 2017 seperti dianugerahkan oleh Suruhanjaya Grand Prix.
“Saya bersyukur kerana mempunyai rakan setia seperti Shell, yang telah bersama kami sejak 2009. Kami telah melakar kejayaan selama 10 tahun bersama-sama dan saya berterima kasih atas hal itu,” katanya semasa pelancaran rasmi MotoGP Malaysia di sini, malam tadi.
Melalui pertumbuhan yang mantap sejak 2010, acara itu menjadi perlumbaan yang paling diminati dan mendapat sambutan apabila pada 2018, Malaysia MotoGP mencatatkan jumlah rekod 169,827 penonton dalam acara tiga hari itu.
Selama bertahun-tahun, MotoGP menjadi platform untuk membangunkan bakat-bakat Malaysia untuk bersaing pada kejohanan bertaraf dunia melalui penampilan pelumba seperti Shahrol Yuzy, Zulfahmi Khairuddin, Adam Norrodin dan Azlan Shah Kamaruzaman.
Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Lain Lo berkata syarikat minyak dan gas itu teruja untuk meraikan penglibatannya dalam perlumbaan motosikal dunia bersama semua peminat sukan pemotoran menerusi kerjasama kami dengan SIC.
Pada acara yang sama, SIC dan Shell Malaysia juga mengumumkan aktiviti luar untuk para peminat, kerana dua pemenang berpeluang memenangi hadiah ditanggung sepenuhnya untuk menyaksikan MotoGP Shell Malaysia sambil menimba pengalaman melalui Peraduan GP Superfan Malaysia.
Antara acara penting yang akan diadakan tahun ini ialah sesi tontonan secara langsung di Kuantan, kali pertama di luar Lembah Klang untuk meningkatkan keterujaan kepada peminat dan penampilan semula Shell Hillstand, kawasan tontonan eksklusif di litar untuk memberi peminat peluang menikmati pengalaman yang pelbagai termasuk aktiviti mesra keluarga sambil menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman.
Bertujuan memberi pengalaman yang lebik baik bagi MotoGP Malaysia, peminat berpeluang untuk memberi sokongan kepada pelumba pilihan mereka yang beraksi kerana SIC All Stars yang menampilkan pelumba MotoGP yang berbakat akan bersaing dengan Team Media FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Peminat juga berpeluang untuk melihat dari dekat pelumba terbaik seperti juara bertahan Marc Marquez, juara tujuh kali Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah semasa sesi autograf selama dua hari dan forum peminat di SIC, awal November.
“Pasukan Malaysia akan beraksi dalam tiga kategori kejohanan yang berbeza. Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team menunjukkan taring apabila Fabio Quartararo menduduki tempat kedua di GP Catalunya dan penampilan Hafizh dan Khairul Idham Pawi menjanjikan saingan yang menarik kepada peminat di Malay
“Walaupun tiket kekal pada harga yang sama untuk GP Malaysia, tambahan cukai hiburan sebanyak 25 peratus dikenakan Kerajaan Negeri. Bagaimanapun, acara itu tetap dinanti-nantikan dan tiket laris dijual. Saya menasihatkan semua peminat supaya mendapatkan tiket sekarang sebelum habis dijual.
“Untuk memastikan pengalaman yang selesa kepada peminat, kerja-kerja dijalankan untuk membaiki bumbung Grandstand Utama dan kelengkapan yang lebih baik untuk tandas awam. Kami amat teruja melihat bumbung baharu semasa perlumbaan tahun ini, ” katanya.
-BERNAMA