Categories
ADN SELANGOR

Penganiayaan, penderaan kanak-kanak meningkat saban tahun

KLANG, 26 JUL: Statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan kes penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak berada di tahap membimbangkan.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, statistik itu menunjukkan sebanyak 4,982 kes direkodkan pada tahun 2016 sebelum terus meningkat pada tahun berikutnya.

“Angka ini meningkat pada 2017 iaitu pertambahan sebanyak 460 kes menjadikan jumlah kes dilaporkan sebanyak 5,442 kes.

“Pada 2018 pula iaitu Januari hingga April Sahaja 1,929 kes telah dilaporkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Komik Hormat Wanita Kak Nam di Sekolah Kebangsaan Sementa di sini, hari ini.

Daroyah berkata, penganiayaan kanak-kanak bukan penderaan fizikal sahaja tetapi turut melibatkan penderaan seksual dan juga pengabaian.

Justeru, katanya, Komik Hormat Wanita Kak Nam diterbitkan dengan membawa mesej kewajipan melindungi kanak-kanak kepada masyarakat.

Katanya, kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting dan menjadi aset serta penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan.

“Kalau wanita lebih tua, hormati dia sebagai kakak atau ibu dan kalau lebih muda hormati sebagai adik.

“Elak kejadian gangguan emosi dan seksual berpunca tak hormati wanita di mana kesedaran kepada golongan sasar termasuk yang masih muda sangat penting,” katanya.