Categories
GLOBAL

Singapura lancar inisiatif tukar rokok dengan karipap

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 JUL: Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan dipelawa untuk menyertai inisiatif menukar sebatang rokok kepada karipap, lapor The Straits Times.

Masjid yang terletak di Kampung Glam itu di antara tujuh masjid yang menyertai inisiatif dinamakan ‘Puff For A Puff’.

Bermula hari ini sehingga pertengahan Oktober, perokok di kalangan komuniti Melayu boleh menukar rokok mereka untuk mendapatkan sebiji karipap secara percuma.

Selepas membuat pertukaran, mereka boleh mendaftarkan diri bagi program berhenti merokok melalui ‘Program Saya Berhenti 28-Hari’ Lembaga Promosi Kesihatan (HPB) bagi membantu perokok membuang tabiat berkenaan.

Inisiatif itu bertujuan untuk mendedahkan jumlah kos termasuk kewangan dan juga kesihatan akibat daripada merokok.

“Kos bagi sebiji karipap adalah sama harganya dengan sebatang rokok dan ada kalanya ia lebih murah,” kata Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kesihatan dan Hal Ehwal Negeri, Amrin Amin.

Sebungkus kotak mengandungi 20 batang rokok berharga S$14 (RM42) atau kira-kira 70 sen (RM2) sebatang.

Sementara karipap yang diberi pihak masjid adalah lebih sihat kerana digoreng dengan minyak lemak kurang tepu dan menggunakan tepung gandum penuh.

Usaha itu adalah bagi menggalakkan perokok mengambil langkah pertama meninggalkan tabiat itu, yang paling sukar dilakukan oleh sebahagian daripada mereka.

FOTO EHSAN: THE STRAITS TIMES