Categories
AGENDA NASIONAL

Tunai haji guna saluran betul

MAKKAH, 23 JULAI: Orang ramai yang berhasrat menunaikan fardu haji disaran mengikut prosedur permohonan visa melalui saluran yang betul, kata Lembaga Tabung Haji (TH).

TH dalam kenyataan berkata, permohonan mengerjakan haji warganegara Malaysia menetap di Malaysia tertakluk kepada giliran haji bakal jemaah mengikut tahun pendaftaran dan permohonan, kelulusan serta pengeluaran visa perlu diperoleh melalui Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Permohonan untuk melaksanakan haji bagi visa haji Furada adalah di luar bidang kuasa TH, namun kedua-dua permohonan visa haji itu mestilah dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“Sistem e-Haj bagi visa haji yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi memerlukan pemohon melengkapkan data seperti perjanjian perumahan di Madinah dan Makkah; perjanjian pengangkutan pergi dan balik dari negara asal; perjanjian sajian makanan serta perjanjian bersama Muassasah,” katanya.

Katanya, umum sedia maklum, warganegara Malaysia yang ingin berkunjung ke Arab Saudi pada bila-bila masa, memerlukan visa sama ada visa umrah, haji, ziarah, urusan perniagaan atau visa bekerja.

Kenyataan itu berkata, TH amat menitikberatkan isu keselamatan jemaah haji dan khuatir dengan tindakan beberapa pihak mutakhir ini yang ingin menunaikan ibadat haji melalui jalan darat seperti menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Penggunaan jalan darat terdedah kepada risiko keselamatan, kemalangan, kegagalan mendapat visa sekali gus menghalang niat menunaikan haji,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman sebagai berkata, TH sentiasa mematuhi prosedur permohonan visa haji dan permohonan luar daripada prosedur ditetapkan dan ketidakpatuhan proses boleh menjejaskan hubungan baik dua negara.

“Kelulusan visa haji adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi. Walaupun ada kemampuan kewangan, umat Islam perlu faham bahawa kewajipan haji merangkumi penggiliran dalam kuota haji, kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya.

-BERNAMA