Categories
NASIONAL

Yayasan Eco World peruntuk RM4 juta bantu pelajar kurang berkemampuan

JOHOR BAHRU, 13 JULAI: Yayasan Eco World memperuntukkan RM4 juta setahun bagi Program Bantuan Pelajar (SAP) untuk mereka daripada golongan kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM220,000 diagihkan untuk perbelanjaan mengadakan kem motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Johor, Selangor, Wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang,Pahang dan Sabah .

Katanya, kem motivasi yang diadakan selama tiga hari itu dianjurkan bagi memberikan pendedahan psikologi dan mental kepada pelajar, selain memberi semangat dan sokongan moral serta meningkatkan integrasi dan perpaduan dalam kalangan pelajar tyang berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Di Johor, pelajar yang menerima bantuan SAP ialah seramai 598 orang dan hari ini sahaja, seramai 146 pelajar dari 27 sekolah telah menyertai kem yang melibatkan kos sebanyak RM57,000,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kem Motivasi UPSR anjuran Yayasan Eco World di Hotel Good Hope Skudai, di sini hari ini.

Beliau berkata selain program itu, yayasan turut menawarkan bantuan pendidikan kepada pelajar di peringkat sekolah menengah.

Syarat kelayakan untuk bantuan itu adalah; mendapat 2A, 2B serta lulus semua mata pelajaran dalam UPSR​​​​, katanya.

Katanya, sepanjang lima tahun program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilakukan, lebih daripada 3,000 pelajar golongan kurang berkemampuan telah dibantu oleh pihaknya dengan 2,600 daripadanya merupakan pelajar sekolah rendah dan 400 lagi ialah pelajar sekolah menengah.

Beliau berkata pihak yayasan juga turut memberi bantuan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan sehingga kini, seramai 39 pelajar menerima bantuan dengan 21 daripadanya telah tamat pengajian.

“Bantuan yang diterima adalah untuk menampung yuran pengajian dan kos sara hidup mereka iaitu antara RM8,000 hingga RM 18,000 setahun dan mereka tidak terikat dengan yayasan setelah tamat pengajian kerana boleh berkhidmat dan bekerja di mana-mana sahaja,” katanya.

-BERNAMA