Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Bajet tambahan: RM123 juta bantu rakyat

SHAH ALAM, 2 OGOS: Selangor meluluskan dana tambahan RM123 juta untuk empat Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi membantu rakyat di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan peruntukan sepanjang tahun ini bagi program air percuma 20 meter padu, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Terima kasih kepada Ahli-ahli Dewan atas maklum balas konstruktif,” tulisnya di Twitter semalam.

Kerajaan Negeri menambahkan RM59 juta untuk 1.6 juta penerima air dan RM22 juta untuk 20,000 penerima KISS.

Sementara RM32.5 juta lagi diperuntukkan kepada 65,000 penerima Skim Peduli Sihat dan RM9.5 juta kepada lebih 60,000 penerima SMUE.

Bantuan bagi keempat-empat program ini disediakan sehingga Disember tahun ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mencadangkan bantuan air percuma itu dikhususkan kepada golongan B40, namun usul ini masih tidak diterima golongan M40 dan T20.

Susulan itu, bantuan air percuma diteruskan kepada semua golongan dengan tambahan peruntukan seperti diluluskan Rabu lalu.

Sementara itu, tiga lagi program turut disusun semula bagi memberi tumpuan bantuan hanya kepada golongan sasar yang sangat memerlukan.

Sejumlah 20,000 penerima manfaat KISS yang layak akan terus menerima bantuan sebanyak RM200 sebulan.

Penerima Skim Peduli Sihat pula terus menerima bantuan rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun.

Manakala peruntukan RM9.5 juta skim SMUE disediakan bagi melangsaikan tuntutan tertunggak membabitkan lebih 60,000 keluarga waris.