Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini disebabkan aktiviti jualan berterusan hampir di semua kaunter berkaitan indeks tatkala pasaran berdepan pusingan seterusnya perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.64 peratus atau 10.52 mata kepada 1,628.55, selepas turun naik antara 1,623.66 dan 1,631.42 sepanjang sesi dagangan pagi.

FBM KLCI dibuka 7.68 mata lebih rendah pada 1,631.39.

Di Bursa, kedudukan pasaran secara keseluruhan kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 619 berbanding 134, manakala 328 kaunter tidak berubah, 816 tidak diniagakan dan 28 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.16 bilion saham bernilai RM780.80 juta.

Seorang peniaga berkata, pelabur mengambil sikap menunggu susulan kebimbangan yang menyelubungi pertikaian perdagangan antara dua gergasi ekonomi dunia itu.

“Pelabur mengharapkan hasil positif daripada mesyuarat sebelum ini antara kedua-dua negara, tetapi malangnya ia sebaliknya semakin memuncak, yang meningkatkan tekanan terhadap perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Ketegangan berlaku selepas Presiden AS Donald Trump pada Khamis mengumumkan menerusi laman Twitter bahawa AS akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas barangan China bernilai US$300 bilion mulai 1 September.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa, Maybank dan PChem masing-masing susut dua sen kepada RM8.67 dan RM7.45, Public Bank turun lapan sen kepada RM12.74, Tenaga susut 18 sen kepada RM13.84 dan IHH turun satu sen RM5.75.

Bagi saham yang mencatatkan kerugian tinggi, Nestle turun RM1.30 kepada RM147.40 dan HLFG susut 20 sen kepada RM17.74, diikuti oleh Tenaga.

Bagi saham aktif, KNM susut 1.5 sen kepada 39 sen, PA turun setengah sen kepada lima sen dan Netx tidak berubah pada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 80.58 mata kepada 11,531.49, Indeks FBMT 100 menguncup 76.87 mata kepada 11,359.41 dan FBM Ace turun 63.27 mata kepada 4,710.17.

FBM 70 turun 111.78 mata kepada 14,382.60 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 96.44 mata kepada 11,952.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 67.76 mata kepada 15,979.61, Indeks Perladangan susut 35.96 mata kepada 6,686.98 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.65 mata kepada 154.60. – BERNAMA