Categories
AGENDA NASIONAL

Rasa cinta dan sayangkan negara perlu terus dipupuk

SEREMBAN, 21 OGOS: Rasa sayang dan cintakan negara bukan sahaja hanya dizahirkan menerusi kibar Jalur Gemilang, namun perlu disemat disanubari agar semangat patriotik dikalangan masyarakat terus mekar sentiasa.

Bekas anggota Komando VAT 69, Halim Ishak berkata selain itu, jati diri, bersyukur dan sikap hormat-menghormati diantara satu sama lain juga perlu dipupuk di peringkat sekolah agar masyarakat dapat terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Saya amat berharap semua guru-guru dan para pelajar bukan sahaja menzahirkan semangat kemerdekaan dengan kibaran bendera tapi mesti menjiwainya dan menghormati serta menghargai pengorbanan perjuangan kemerdekaan oleh pasukan keselamatan dan terdahulu,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Halim yang juga Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) berkata hari ini beliau telah dijemput untuk merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan ke-62 Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Enstek di Nilai dan kesempatan itu digunakan untuk memupuk semangat patriotik dalam jiwa pelajar agar sentiasa sayang dan cintakan negara serta berusaha mengekalkan kemerdekaan yang dicapai.

“Pada majlis itu, saya menyarankan kepada para pelajar untuk berpegang pada prinsip Rukun Negara, menghargai keamanan dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan, memerdekakan minda mereka daripada di jajah oleh maklumat-maklumat yang ada dalam media sosial.

“Selain itu, saya juga meminta mereka menanamkan jati diri bangsa dan mengeratkan perpaduan setiakawan dengan pelajar dari bangsa dan kaum lain,” katanya.

-BERNAMA